...............................
Populasi
Sejarah
Kronologi
...............................

 

   
 
Laman Utama // Melaka Bandaraya Bersejarah
 
Melaka Bandaraya Bersejarah
 
 

Sejarah awal Malaysia bermula dengan sejarah Melaka. Lama sebelum kebangkitan negeri-negeri di Malaysia, Melaka telah bangkit dengan kegemilangannya bermula pada kurun ke-14.

Melaka menjadi peneraju pusat perdagangan yang menarik ramai para pedagang yang datang bukan sahaja dari rantau ini malah juga dari India, China, Eropah dan Timur Tengah. Melaka telah menjadi pusat perdagangan rempah dunia. Statusnya sebagai pelabuhan entreport antarabangsa yang terkenal ekoran kedudukannya yang strategik di laluan Selat Melaka tempat pertemuan angin monsun.

Sehingga hari ini Selat Melaka masih menjadi laluan perjalanan kapal yang tersibuk di dunia. Negeri Melaka merangkumi keluasan kawasan 1,650 km persegi atau 1.3 peratus dari keseluruhan keluasan Malaysia. Negeri ini dibahagikan kepada tiga buah daerah iaitu Melaka Tengah (314 km persegi), Alor Gajah (660 km persegi) dan Jasin (676 km persegi).

Pada 15 April 1989 bandar Melaka telah diisytiharkan sebagai 'Bandaraya Bersejarah' dan secara rasminya bergelar 'Melaka Bandaraya Bersejarah.' Status sebagai 'Bandaraya Bersejarah sememangnya amat sesuai dan layak untuk Melaka.

Tiada bandar di negara dan juga rantau ini yang mempunyai pengaruh yang sangat kukuh dari segi pembangunan politik, ekonomi, kebudayaan dan sosial negara seperti Melaka di rantau ini. Sejak pembukaannya, Melaka merupakan yang pertama dalam segala aspek.

Negeri ini merupakan pelabuhan antarabangsa pertama di rantau ini; negeri ini mewujudkan Kesultanan Melaka yang secara tidak langsung telah mewujudkan Kesultanan di negeri-negeri lain di Malaysia. Melaka juga memainkan peranan utama dalam penyebaran agama Islam di rantau sebelah sini. Kepentingan komersial dan kedudukannya yang strategik telah menarik minat orang Eropah untuk hadir ke rantau ini yang seterusnya telah mengubah corak sejarah perkembangannya.

Kewujudan masyarakat yang dikenali sebagai 'Peranakan' dan 'Chitty' merupakan hasil kejayaan Melaka sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa yang menarik perhatian para pedagang China dan India. Masyarakat 'Peranakan'ini merupakan waris daripada para pedagang China manakala 'Chitty' waris pedagang India yang telah berkahwin dengan masyarakat tempatan dan menjadikan Melaka tempat mereka bermastautin.

Sejarah awal Melaka telah menjadikan Melaka sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai kaum, agama dan kebudayaan. Tidak dapat dinafikan menjadi satu kebanggaan bahawa Melaka merupakan satu contoh terbaik mengenai keharmonian masyarakat majmuk. Populasi negeri Melaka hampir setengah juta dan terdiri daripada Melayu, China, India, pewaris Portugis, Belanda, Inggeris dan golongan Peranakan dan Chitty. Masjid tertua, tokong tertua, kuil tertua semuanya terdapat di Melaka yang terletak berdekatan antara satu sama lain. Malah, gereja yang tertua di Malaysia juga terletak di Melaka.

Sebuah bukit yang dinamakan Bukit Cina merupakan lambang hubungan baik antara kerajaan China dengan negeri Melaka. Malah di sini juga dikatakan merupakan satu-satunya tanah perkuburan Cina terbesar yang terletak di luar Tanah Besar China. Hari ini, Melaka merupakan salah sebuah negeri yang paling pesat membangun dalam Malaysia. Ia telah memainkan peranan utama dalam industri pelancongan negara.

Sejarahnya yang panjang dan menarik telah meningkatkan minat dan tinggalan-tinggalan bangunan serta artifak sejarah telah menarik minat lebih ramai pelawat dan intelektual. Melaka juga sangat pesat membangun dalam sektor pembuatan dan industri. Lokasi, infrastruktur, kemudahan rekreasi, serta kemudahan sumber buruh mahir serta kerajaan yang efisyen diterajui oleh para pemimpin yang progresif telah membawa Melaka sangat menarik kepada para pelabur luar dan dalam negara. Melaka berwawasan untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2010.

Segala projek dan program telah dirancang dan dilaksanakan adalah berasaskan wawasan ini. Pembangunan industri pelancongan menjadi teraju utama dalam pembangunan keseluruhan negeri Melaka dan semuanya dilakukan dalam menjadikan Melaka sebuah tempat percutian yang memberi kepuasan dan pengalaman terbaik.

Bandaraya Bersejarah Melaka berkembar dengan lima buah bandar terkemuka yang lain iaitu - Lisbon, Portugal (16 Januari 1984), Kuala Lumpur, Malaysia (15 April 1989), Hoorn, Belanda (8 November 1989), Valparaiso, Republik Chile (24 June 1991) dan Nanjing, China (2001).

 

 

 

 
 
©2000-2003 MelakaCOM.Net. Hakcipta Terpelihara. Penafian
Laman ini terbaik dilayari dengan Internet Explorer 4.0 ke atas (800 x 600 piksel)