Sejarah awal Malaysia
bermula dengan sejarah Melaka. Lama
sebelum kebangkitan negeri-negeri di
Malaysia, Melaka telah bangkit dengan
kegemilangannya bermula pada kurun ke-14.
Melaka menjadi peneraju pusat perdagangan
yang menarik ramai para pedagang yang
datang bukan sahaja dari rantau ini
malah juga dari India, China, Eropah
dan Timur Tengah. Melaka telah menjadi
pusat perdagangan rempah dunia. Statusnya
sebagai pelabuhan entreport antarabangsa
yang terkenal ekoran kedudukannya yang
strategik di laluan Selat Melaka tempat
pertemuan angin monsun. Sehingga hari
ini Selat Melaka masih menjadi laluan
perjalanan kapal yang tersibuk di dunia.
Negeri Melaka merangkumi
keluasan kawasan 1,650 km persegi atau
1.3 peratus dari keseluruhan keluasan
Malaysia. Negeri ini dibahagikan kepada
tiga buah daerah iaitu Melaka Tengah
(314 km persegi), Alor Gajah (660 km
persegi) dan Jasin (676 km persegi).
Pada 15 April 1989
bandar Melaka telah diisytiharkan sebagai
'Bandaraya Bersejarah' dan secara rasminya
bergelar 'Melaka Bandaraya Bersejarah.'
Status sebagai 'Bandaraya
Bersejarah sememangnya amat sesuai dan
layak untuk Melaka. Tiada bandar di
negara dan juga rantau ini yang mempunyai
pengaruh yang sangat kukuh dari segi
pembangunan politik, ekonomi, kebudayaan
dan sosial negara seperti Melaka di
rantau ini.
Sejak pembukaannya,
Melaka merupakan yang pertama dalam
segala aspek. Negeri ini merupakan pelabuhan
antarabangsa pertama di rantau ini;
negeri ini mewujudkan Kesultanan Melaka
yang secara tidak langsung telah mewujudkan
Kesultanan di negeri-negeri lain di
Malaysia. Melaka juga memainkan peranan
utama dalam penyebaran agama Islam di
rantau sebelah sini.
Kepentingan komersial
dan kedudukannya yang strategik telah
menarik minat orang Eropah untuk hadir
ke rantau ini yang seterusnya telah
mengubah corak sejarah perkembangannya.
Kewujudan masyarakat
yang dikenali sebagai 'Peranakan' dan
'Chitty' merupakan hasil kejayaan Melaka
sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa
yang menarik perhatian para pedagang
China dan India. Masyarakat 'Peranakan'ini
merupakan waris daripada para pedagang
China manakala 'Chitty' waris pedagang
India yang telah berkahwin dengan masyarakat
tempatan dan menjadikan Melaka tempat
mereka bermastautin.
Sejarah awal Melaka
telah menjadikan Melaka sebuah negeri
yang kaya dengan pelbagai kaum, agama
dan kebudayaan. Tidak dapat dinafikan
menjadi satu kebanggaan bahawa Melaka
merupakan satu contoh terbaik mengenai
keharmonian masyarakat majmuk. Populasi
negeri Melaka hampir setengah juta dan
terdiri daripada Melayu, China, India,
pewaris Portugis, Belanda, Inggeris
dan golongan Peranakan dan Chitty. Masjid
tertua, tokong tertua, kuil tertua semuanya
terdapat di Melaka yang terletak berdekatan
antara satu sama lain. Malah, gereja
yang tertua di Malaysia juga terletak
di Melaka. Sebuah bukit yang dinamakan
Bukit Cina merupakan lambang hubungan
baik antara kerajaan China dengan negeri
Melaka. Malah di sini juga dikatakan
merupakan satu-satunya tanah perkuburan
Cina terbesar yang terletak di luar
Tanah Besar China.
Hari ini, Melaka
merupakan salah sebuah negeri yang paling
pesat membangun dalam Malaysia. Ia telah
memainkan peranan utama dalam industri
pelancongan negara. Sejarahnya yang
panjang dan menarik telah meningkatkan
minat dan tinggalan-tinggalan bangunan
serta artifak sejarah telah menarik
minat lebih ramai pelawat dan intelektual.
Melaka juga sangat
pesat membangun dalam sektor pembuatan
dan industri. Lokasi, infrastruktur,
kemudahan rekreasi, serta kemudahan
sumber buruh mahir serta kerajaan yang
efisyen diterajui oleh para pemimpin
yang progresif telah membawa Melaka
sangat menarik kepada para pelabur luar
dan dalam negara.
Melaka berwawasan
untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang
tahun 2010. Segala projek dan program
telah dirancang dan dilaksanakan adalah
berasaskan wawasan ini. Pembangunan
industri pelancongan menjadi teraju
utama dalam pembangunan keseluruhan
negeri Melaka dan semuanya dilakukan
dalam menjadikan Melaka sebuah tempat
percutian yang memberi kepuasan dan
pengalaman terbaik.
Bandaraya Bersejarah
Melaka berkembar dengan lima buah bandar
terkemuka yang lain iaitu - Lisbon,
Portugal (16 Januari 1984), Kuala Lumpur,
Malaysia (15 April 1989), Hoorn, Belanda
(8 November 1989), Valparaiso, Republik
Chile (24 June 1991) dan Nanjing, China
(2001).
|