...............................
...............................
 
 
   
PERSEKITARAN
...........................
Makam Sultan Ariffin
...........................
Telaga Tempayan
...........................
Batu Belah
...........................
Laman Utama // Rekreasi // Rekreasi Air // Pulau Besar
 
Pulau Besar
 
Taman Tema Air A' Famosa
Pantai Pengkalan Balak
 

Bagi mereka yang inginkan percutian di tepian pantai berpasir dengan keindahan kebiruan laut, pancaran sinaran matahari yang menyegarkan serta penginapan berhadapan dengan lautan terbentang, pulau ini adalah destinasi terbaik.

Aktiviti-aktiviti seperti berenang, berkelah, memancing atau snorkeling sangat sesuai di kawasan peranginan ini. Pulau Besar adalah salah sebuah pulau yang terletak di perairan Melaka dan gugusan kepulauan di sini banyak menyimpan khazanah sejarah serta tanda bagi para pelaut yang melaluinya.

Pulau Besar dan pulau-pulau sekitarnya juga dikenali sebagai 'Wu Shu'di kalangan para pelayar Cina. Pulau Besar sering menjadi tempat persinggahan mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih dan kayu api sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Pulau Besar dipercayai mempunyai penempatan lebih awal sebelum Melaka dibuka oleh Parameswara.

Menurut Ma Huan, pembantu kepada Laksamana Cheng Ho, pelayar Cina akan melawat 'Wu Shu' dan menurunkan sauh untuk mengumpulkan keperluan asas mereka.

Di selat ini, ramai nelayan-nelayan tempatan yang tinggal berdekatan akan membawa hasil tangkapan dan keluaran mereka seperti ikan masin dan lain-lain untuk ditukarkan dengan keperluan mereka. Perdagangan dengan sistem barter bermula di Melaka dan berkembang pesat kepada sistem perdagangan yang lebih teratur hingga menjadikannya pusat perdagangan di rantau Asia Tenggara.

Kesan-kesan sejarah di Pulau Besar

  • MAKAM SULTAN ARIFFIN

    Menurut lagenda, Sultan Ariffin dari Baghdad singgah di Pulau Besar dalam perjalanan pulang, dalam usaha menyebarkan agama Islam di Acheh pada tahun 1416-1420. Sewaktu singgah di sini, beialu telah jatuh sakit dan akhirnya meninggal dan dikebumikan di sini.

    Makam beliau berukuran kira-kira tiga kaki panjang dipercayai yang tertua di Melaka. Dahulu difahami bahawa saiz makam boleh menentukan umur seseorang sewaktu mereka meninggal. Jika sesebuah makan berukuran panjang 5 kiubik, umurnya ialah 30 tahun. Manakala jika panjang makam tersebut kira-kira 10 atau 30 kiubik, umurnya sewaktu meninggal kira-kira 60 tahun, begitulah kira-kiranya.

  • GUA YUNUS

    Gua misteri yang menjadi tempat pertapaan dan meditasi seorang ilmuwan bernama Yunus yang sering berlatih silat dan ilmu mempertahankan diri.

  • TELAGA AIR TAWAR

    Perigi air tawar yang unik, berdekatan dengan laut tetapi air hanya masin ketika air laut pasang dan tinggi. Legenda menyebut orang ramai boleh merasa air bersih dan tawar walaupun sepatutnya air perigi itu berisi air masin ketika air laut surut.

  • TELAGA TEMPAYAN

    Pada suatu masa dahulu orang-orang Melaka mempercayai bahawa telaga ini boleh memenuhi hajat mereka. Menurut kepercayaan, dengan mencelupkan tangan ke dalam telaga ini anda berkemungkinan memperolehi atau tidak hajat yang dipohon.

  • MAKAM TUJUH ORANG PUTERI

    Makam ini dipercayai adalah makam tujuh orang puteri India yang melawat Pulau Besar pada masa dahulu. Ketika itu ribut melanda dan seorang demi seorang puteri itu jatuh sakit dan meninggal dunia lalu dikebumikan di situ.

  • BATU BELAH

    Batu Belah yang terletak di padang golf ini terkenal dengan lagenda beberapa abad yang lalu, dipercayai Panglima Lidah Hitam telah mempamerkan kekuatannya dengan membelah dua batu tersebut menggunakan lidah.

  • MAKAM SHARIFAH RODZIAH

    Sharifah Rodziah dikenali sebagai seorang wanita yang alim dan berpegang teguh pada ajaran Islam. Beliau juga dipercayai menjadi guru kepada legenda permaisuri Melayu, Siti Zubaidah. Pada zaman dahulu, Sharifah Rodziah adalah di kalangan alim ulama wanita yang menyebarkan Islam di daerah ini.

 

 

 

 
 
©2000-2003 MelakaCOM.Net. Hakcipta Terpelihara. Penafian
Laman ini terbaik dilayari dengan Internet Explorer 4.0 ke atas (800 x 600 piksel)